fbpx
More

    Sarawak Akan Tubuh Syarikat Penerbangan Sendiri

    Sarawak Akan Tubuh Syarikat Penerbangan Sendiri

    Kerajaan Negeri Sarawak sedang meneliti butiran untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri untuk menghubungkan Bumi Kenyalang ke destinasi pelancongan di rantau Asia.

    Antara bandar utama dalam senarai penelitian ialah Bangkok, Jakarta, Manila dan Hong Kong.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, hubungan jaringan udara yang terhad menjadi cabaran bagi negeri Sarawak untuk meningkatkan pelancongan domestik dan antarabangsa, menurut laporan Harian Metro.

    “Kini, pelancong gemar memilih penerbangan terus kerana lebih mudah, menjimatkan masa dan kos, namun tidak banyak penerbangan disediakan menghubungkan negeri ini dengan destinasi luar.

    “Sebaliknya, pelancong perlu transit terlebih dulu di Singapura atau Kuala Lumpur untuk datang ke Sarawak. Ini tentunya menyebabkan mereka (pelancong) tidak menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama,” katanya selepas melancarkan Program Livery Campaign Air Asia Sarawak 2019 sempena Tahun Melawat Sarawak 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), pada 2 Februari 2019.

    Abang Johari berkata kebanyakan laluan penerbangan yang menghubungkan Sarawak ke destinasi antarabangsa sebelum ini tidak dapat kekal beroperasi.

    “Mereka (syarikat penerbangan) sentiasa keluar ‘setengah jalan’. Kita memahami mereka mempunyai kebimbangan sendiri kerana ini adalah perniagaan… yang ada untung dan rugi, selain risiko lain yang berkaitan.

    “Namun, kita memerlukan lebih banyak masa untuk membina aliran pelancong yang mampan.

    Justeru, Sarawak sangat serius dalam menubuhkan syarikat penerbangan sendiri, bukan yang besar tetapi cukup untuk menghubungkan negeri ini ke beberapa destinasi utama dan berpotensi,” katanya.

    Abang Johari juga menjelaskan cadangan penubuhan syarikat penerbangan sendiri bukan sesuatu yang baru kerana Kerajaan Sarawak pernah mengemukakan hasrat mengambil alih operasi MASwings dari Malaysia Airlines Berhad (MAB) namun rundingan dijalankan tidak membuahkan hasil positif.

    Katanya, antara sebab itu ialah kebimbangan MAB sekiranya Sarawak akan menjadi pesaing mereka apabila kerajaan negeri mengambil alih MASwings.

    Kuching tidak asing lagi dengan jaringan antarabangsa sebelum ini namun beberapa laluan penerbangan antarabangsa terpaksa diberhentikan. Lihat artikel kami mengenai topik ini di pautan ini: 6 Laluan Penerbangan Antarabangsa Dari Kuching Yang Diberhentikan

    Artikel Berkaitan