Our Local Story

SMS Kuching Utara Juara Bahas Piala Perdana Menteri Pertama Dari Sabah & Sarawak

SMS Kuching Utara Juara Bahas Piala Perdana Menteri Pertama Dari Sabah & Sarawak
SMS Kuching Utara Juara Bahas Piala Perdana Menteri Pertama Dari Sabah & Sarawak

SM Sains Kuching Utara menjadi sekolah pertama dari Sabah dan Sarawak untuk menjuarai Piala Perdana Menteri 2017. (Dari kiri): Guru penasihat Noor Nui Nadia Sadri Sham, Ahmad Zaki Ayman Ali Rahman, Ariz Syaqil Aizuddin, Nazmi Ahmad Nizar dan Ahmad Amsyar Khan Sarjankhan.
Kredit: SM Sains Kuching Utara

 

Syabas kepada SM Sains Kuching Utara (SAKURA) yang telah menjuarai pertandingan bahas Piala Perdana Menteri 2017 kategori bahasa Inggeris.

Kemenangan manis ini menyaksikan SAKURA mencipta sejarah sebagai sekolah yang pertama dari Sabah dan Sarawak untuk menjadi juara sejak acara tahunan ini diadakan mulai tahun 1974.

Pasukan SAKURA terdiri daripada Nazmi bin Ahmad Nizar (16), Ariz Syaqil bin Aizuddin (16), Ahmad Zaki Ayman bin Ali Rahman (15), dan Ahmad Amsyar Khan bin Sarjankhan (16).
Yang membanggakan lagi ialah apabila Nazmi memenangi anugerah pembahas terbaik keseluruhan.

“Saya rasa sangat gembira kerana saya tak expect akan jadi Best Speaker. Saya sangkakan peserta dari pihak lawan yang akan menang,” kata Nazmi yang terlibat dalam perbahasan sejak Tingkatan 1.
Jurulatih mereka dari INTRTXT, Terence Aaron Anthony berkata perjalanan untuk menjuarai Piala Perdana Menteri bukanlah mudah. Hal ini kerana pelajar SAKURA pada mulanya kurang terdedah dengan pertandingan bahas berbanding pelajar-pelajar di Lembah Klang.

“Di Lembah Klang terdapat pertandingan bahas setiap minggu,” kata Terence ketika dihubungi ilovekch.com.

“Ini bererti pelajar di sana berpeluang berjumpa dan menyaksikan perbahasan tokoh-tokoh bahas seperti Mifzal Mohammed, Ameera Natasha Moore, Mubarrat Wassey dan sebagainya.”

“Di Kuching kami terpaksa mencari jalan lain. Oleh sebab kami tidak dapat berbahas dengan para pembahas yang hebat, kami menonton video pembahas terbaik dan berlatih “berbahas” dengan mereka.”

“Kami juga menganjurkan Kuching Debate League yang diadakan dalam sehari. Dengan cara ini kami dapat berbahas dengan sekolah-sekolah lain.”

Terence berkata oleh sebab pelajar SAKURA tiada akses ke Internet, beliau memainkan video-video World Universities Debating Championship kepada pelajarnya sewaktu melatih mereka pada waktu malam selepas waktu sekolah.Bagi Terence, kemenangan SAKURA bermakna lebih ramai pelajar di Sabah dan Sarawak akan berasa mereka juga dapat menjuarai pertandingan bahas yang sebelum ini nampak mustahil.

“Dengan adanya sekolah dari Kuching yang menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, lebih ramai pelajar akan berasa mereka dapat membuat perkara yang sama. Jadi, lebih banyak kumpulan akan ingin menyertai bahas dan menjadi lebih aktif.”

Pusingan akhir menyaksikan perlawanan antara SAKURA sebagai pembangkang dengan Sekolah Sultan Alam Shah sebagai kerajaan yang membahaskan topik “This House would introduce a common currency to all Asian countries“.

Piala Perdana Menteri itu diadakan sempena Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh ke-44 (HKSBP44) dari 20-25 Mei di SM Sains Banting, Selangor. Sebanyak 70 kontijen dari seluruh negara bertanding dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

SAKURA menerima hadiah wang tunai RM3,000 bersama piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.
Bagi yang ingin menonton pertandingan akhir bahas Piala Perdana Menteri 2017 antara SAKURA dengan Sekolah Sultan Alam Shah, klik di sini.Sekali lagi jutaan tahniah diucapkan kepada SAKURA. Kepada adik-adik Ariz, Zaki, Amsyar dan Nazmi, we are truly proud of you!

Related posts
Our Local Story

Whatsapp, Facebook, Instagram DOWN Disebabkan Masalah Teknikal

Our Local Story

Kecoh!Page FB Sabah Sarawak Merdeka HINA YDP Agong Malaysia

Our Local Story

Grab Food Dijangka Mula Beroperasi Bermula 22 April Di Kuching!

Our Local Story

Pindaan Perlembagaan : Ianya Sepatutnya Negara Sabah Dan Sarawak

Ketahui Segalanya Mengenai Kuching Dengan Melanggan Newsletter Kami