Kuching catat 8 kes positif COVID-19 baharu hari ini.
Hari ini terdapat lapan (8) kes positif COVID-19 yang dikesan di Daerah Kuching menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 1,148 kes.
Menurut kenyataan daripada JPBNS, kes 1,141 adalah seorang wanita warga tempatan (Sarawak) yang baru balik ke Sarawak dari Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 1 Januari 2021 menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA2).
Kes ini telah membuat perjalanan ke Kuala Lumpur bersama keluarganya pada 21 Disember 2020 atas tujuan menghantar adik bagi melapor diri bekerja di Kuala Lumpur.
Kes membuat saringan COVID-19 dan diberikan arahan kuarantin di pusat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum dibenarkan menjalani kuarantin di rumah bagi baki tempoh arahan kuarantin. Ujian rT-PCR yang telah diambil pada 02 Januari 2021 didapati positif pada 3 Januari 2021. Manakala keputusan ahli keluarga kes yang datang bersama adalah negatif untuk ujian rT-PCR saringan pertama COVID-19.

Kes 1,143 pula merupakan seorang lelaki warga tempatan
Kes 1,143 pula merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah balik ke Sarawak setelah membuat perjalanan ke Selangor melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 25 Disember 2020 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA-1).
Kes telah dimasukkan ke pusat kuarantin bagi menjalani arahan kuarantin wajib 10 hari di pusat kuarantin dan baki 4 hari di rumah. Saringan COVID-19 pertama dijalankan pada 25 Disember 2020 dan didapati negatif. Walau bagaimanapun, saringan kali kedua pada 01 Januari 2021 didapati positif melalui ujian rT-PCR.
Kedua-dua kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak pada hari yang sama.
Kes ini dikategorikan sebagai kes Import B kerana telah mendapat jangkitan semasa masih berada di kawasan berisiko jangkitan iaitu di Kuala Lumpur bagi kes 1,141 dan di Selangor bagi kes 1,143.

Kes 1,142 adalah seorang kanak-kanak warga tempatan
Kes 1,142 adalah seorang kanak-kanak warga tempatan (Sarawak) yang telah tiba di Kuching bersama ahli keluarga beliau pada 25 Disember 2020 dari Congo. Kes ini adalah anak kepada kes 1,109.
Kes telah menjalani saringan COVID-19 pertama setibanya di Sarawak pada 26 Disember 2020 dan ujian rT-PCR didapati negatif. Ujian saringan kedua iaitu pada 01 Januari 2021 mendapati kes ini positif ujian RT-PCR.
Kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di wad Hospital Umum Sarawak untuk rawatan yang lebih lanjut.
Kes ini dikategorikan sebagai kes Import A iaitu telah mendapat jangkitan semasa masih berada di Congo dan kemungkinan mendapat jangkitan daripada kes 1,109.

Kes mempunyai kontak rapat dengan kes- kes yang telah dilaporkan
Kes 1,144, 1,145, 1,146 dan 1,147 adalah individu-individu yang telah disaring kerana mempunyai kontak rapat dengan kes- kes yang telah dilaporkan sebelum ini yang melibatkan kluster sedia ada iaitu Kluster Stutong di Daerah Kuching. Kesemua mereka ini telah menjalani saringan pada 2 Januari 2021 dan keputusan ujian rT-PCR mendapati mereka positif jangkitan COVID-19 pada 3 Januari 2021.
Kes 1,144 adalah kontak rapat tempat kerja kepada kes 1,118. Kes 1,145 dan 1,147 adalah kontak rapat kepada kes 1,119. Manakala kes 1,146 adalah kontak kepada kes 1,120 yang telah dilaporkan sebelum ini.
Semua kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala dan telah dirujuk dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.
Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan yang telah mendapat jangkitan daripada kes-kes positif yang telah dilaporkan sebelum ini. Siasatan lanjut ke atas kes-kes ini dan pengesanan kontak-kontak lain sedang giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Kes 1,148 adalah seorang lelaki warga tempatan
Kes 1,148 adalah seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta di Bandaraya Kuching pada 3 Januari 2021. Kes disaring bagi tujuan kemasukan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dari siasatan awal kes ini tidak mempunyai kontak dengan mana- mana kes positif COVID-19 dan tidak mempunyai pergerakan ke luar negara atau sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi di mana-mana negeri lain di Malaysia.
Kes tidak mengalami sebarang tanda atau gejala dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah pergerakan kes dalam tempoh satu bulan yang lepas.
Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan pengesanan semua kontak kepada kes ini sedang dijalankan bagi mengesan kemungkinan jangkitan kepada individu-individu lain.