in

Ketua PKR Sarawak Terkejut Kenyataan James Masing Tentang Rezab

Ketua PKR Sarawak Terkejut Kenyataan James Masing Tentang Rezab

Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak (TKM), Tan Sri Dr James Masing berhubung penggunaan rezab negeri ini.

“Saya terkejut apabila membaca laporan bahawa Masing bercadang menggunakan semua rezab kami sebanyak RM31 bilion sebelum pilihan raya negeri Sarawak akan datang supaya kerajaan negeri selepas itu tidak mempunyai peluang untuk ‘kelihatan baik’ di mata rakyat Sarawak apabila mereka menggunakan wang itu.

“Kenyataan ini mencerminkan mentaliti beliau – beliau adalah ahli politik dahulu, kemudian baru TKM – sepatutnya ia adalah sebaliknya. Jelas sekali, beliau tidak lagi mengutamakan rakyat, tetapi keberkaitan dan kelangsungan hidup politiknya. Barangkali, inilah sebabnya beliau mengemukakan cadangan paling ‘bijak’ itu untuk dilaksanakan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” kata Baru dalam kenyataan di sini pada 19 Jun.

The Borneo Post semalam menyatakan laporan mereka itu benar dengan menerbitkan transkrip ucapan serta memuat naik rakaman audio ucapan Masing ke YouTube.

Baru, yang juga Anggota Parlimen Selangau dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan berkata rezab itu adalah kepunyaan rakyat Sarawak dan bukan untuk dibelanjakan GPS bagi mencari kemegahan.

“Mereka sepatunya mengurus dana kita demi untuk manfaat rakyat, bukan untuk mereka mencari populariti.

“Sesungguhnya, kenyataan Masing itu adalah tidak bertanggungjawab serta bersifat mementingkan diri sendiri dan rakyat Sarawak sewajarnya berasa bimbang dengan set minda TKM itu – seseorang yang diamanahkan tugas untuk mengurus hal ehwal negeri ini,” kata Baru.

Beliau berkata rakyat Sarawak memerlukan pemimpin yang berhemat dan menggunakan dana negeri dengan bijak mengikut keperluan rakyat, bukan seseorang yang memikirkan tentang cara untuk menghalang tugas kerajaan baharu apabila ‘BN lama dalam botol baharu’ disingkirkan daripada mentadbir negeri ini.

“Setiap kerajaan diharapkan melabur untuk pembangunan, tetapi cadangan Masing itu membayangkan sebanyak RM31 bilion akan dibelanjakan secara terburu-buru, hanya kerana beliau tidak mahu kerajaan baharu berpeluang menggunakan wang berkenaan.

“Sekiranya cadangan ini diterima, ia akan membawa  kepada pelaksanaan projek yang tidak diperlukan, pembaziran, ketirisan dan mungkin pelaksanaan projek secara tidak berhemat akibat terburu-buru,” kata Baru.

Beliau seterusnya berkata tindakan berbelanja dengan sesuka hati itu akan membawa kepada perbuatan meminjam kerana projek yang dilaksanakan kerajaan selama ini diketahui ramai tidak pernah kekal dalam mengikut bajet asal, tetapi melebihi perbelanjaan yang dirancang dengan berlipat kali ganda.

“Barangkali, Masing juga mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Sarawak nanti akan dibebani hutang,” katanya.

Menurut Baru, kerajaan sekarang, biar apa pun namanya, tetapi setelah mentadbir negeri ini selama lebih 50 tahun, perlulah menunjukkan yang mereka mengambil berat tentang masa depan Sarawak dan mahu berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan sebaik mungkin.

“Kenapakah Masing memilih  untuk berbuat begitu sekarang? Melalui kata-katanya itu, Masing mengaku kerajaan hingga kini tidak melakukan yang terbaik untuk rakyat Sarawak dan mereka tidak mengambil peduli tentang masa depan Sarawak serta tidak mengambil kisah  untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya.

Baru mengimbau kembali kisah pada November 2013 apabila beliau mengemukakan cadangan di DUN (Dewan Undangan Negeri) agar kerajaan menggunakan rezabnya untuk memperbaiki banyak sekolah yang sudah uzur di Sarawak, tetapi Menteri Kewangan menolak idea itu dengan berkata: “kita tidak sepatutnya menggunakan asas rezab  kita yang sihat, yang telah kita bertungkus lumus membinanya selama beberapa tahun, untuk membiayai tanggungjawab di luar skop kita.

“Jika kita mula bertindak mengikut asas ini, negeri ini akan melangkah terlalu jauh dan melampaui had kewangan serta kemampuan kita. Akhirnya, negeri ini mungkin mengalami masalah kewangan yang menjejaskan kita dan generasi akan datang  dengan teruk.

“Tak tahulah saya apa yang akan dikatakan oleh Menteri Kewangan tentang idea James Masing itu. Adakah beliau mempunyai pertimbangan yang serupa untuk generasi akan datang?”

Malangnya, kata Baru, Masing kelihatan terlalu terikat dengan agendanya sekarang dan tindakan serta kata-katanya itu menunjukkan kebimbangannya yang begitu  mendalam bahawa GPS akan kalah pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata sekiranya Masing mempunyai lebih banyak idea seperti itu, kebimbangannya akan menjadi kenyataan pada 2021. – BERNAMA

Facebook Comments

Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan PETRONAS Untuk Mulakan Prosiding Terhadap Kerajaan Sarawak

Kenali BEACON : Projek Pemeliharaan Marin Di Sarawak

Kenali BEACON : Projek Pemeliharaan Marin Di Sarawak