fbpx
Our Local Story

Kenali 5 Kek Lama Sarawak Yang Digemari Ramai Hingga Ke Hari Ini

Tetap menjadi pilihan selain Kek Lapis Sarawak.

Kenali 5 Kek Lama Sarawak Yang Digemari Ramai Hingga Ke Hari Ini. Tahukah anda bahawa terdapat kek tradisi Sarawak yang masih digemari ramai sehingga ke hari ini selain Kek Lapis Sarawak?

Kek ini boleh dikira legend kerana mempunyai rasa yang tersendiri. Malah, jika anda memakannya sambil tutup mata, serta merta anda dapat meneka nama kek tersebut.

Pada musim perayaan di Sarawak pula, kek lama ini akan tetap dihidangkan di samping Kek Lapis Sarawak. Jom kita kenali kek lama yang masih menjadi idaman ramai sehingga kini.

1. Kek Belacan

Bagi anda yang menggemari kek coklat, pasti Kek Belacan ini akan menjadi kegemaran anda. Kek Belacan merupakan kek berwarna coklat gelap dan mempunyai tekstur yang lembap.

Kenali 5 Kek Lama Sarawak Yang Digemari Ramai Hingga Ke Hari Ini
Sumber : Facebook

Bahan utama pembuatannya adalah seperti serbuk koko, Horlick, Milo, coklat masakan, sri kaya, dan browning sugar.

Walaupun ia kelihatan seperti sebuah kek kosong yang kurang menarik, tapi kalau dah sekali masuk ke dalam mulut, pasti anda akan ‘belalak’ (tak puas) dan nak lagi kerana rasa kek nya yang unik dan penuh lemak-lemak coklat!

2. Kek Hati Parek

Kek Hati Parek atau pun dalam bahasa Melayu, Kek Hati Pari pula merupakan sejenis kek berwarna hitam atau coklat dengan campuran hirisan buah prun dan kismis.

Sumber : Facebook & FriedChillies

Keistimewaan kek ini ialah pada rasa masam-masam manisnya. Selain itu, tekstur kek ini juga agak berbeza daripada kek lama yang lain kerana ia seakan-akan ‘chewy’ di hujung gigitan tetapi tetap lembap seperti kek kukus biasa.

Kek ini juga dimasak menggunakan kaedah kukus berbanding kek biasa yang dibakar menggunakan ketuhar. Masa yang diambil untuk mengukus pula adalah selama lebih kurang 8 jam. Jadi, jika anda ingin membuat sendiri kek ini di rumah, pastikan anda membuatnya pada waktu yang sesuai.

Takut-takut anda tertidur pula masa mengukus. Naya weh!

3. Kek Lumut

Kek Lumut pula merupakan sebuah kek yang berwarna hijau tanpa campuran apa-apa buah atau bahan hiasan lain.

Tapi, don’t judge the book by its cover!

Kenali 5 Kek Lama Sarawak Yang Digemari Ramai Hingga Ke Hari Ini
Sumber : Facebook

Kek ini juga tetap menjadi kegilaan ramai setiap kali menjelang musim perayaan kerana rasanya yang berlemak, lembut dan lembap. Warna hijaunya pula adalah berasaskan pes pandan yang digunakan dalam adunan. Sesuai untuk diminum bersama secawan teh atau kopi panas.

Kek ini biasanya tahan selama seminggu atau jika disimpan di dalam peti sejuk, boleh bertahan sehingga berbulan lamanya.

4. Kek Kismis Bermalam

Bagi yang sukakan kismis dan buah-buahan campuran dalam kek, Kek Kismis Bermalam pastinya kek yang bakal menjadi kegemaran anda.

Kenali 5 Kek Lama Sarawak Yang Digemari Ramai Hingga Ke Hari Ini
Sumber : DariDapur.com

Antara campuran buah yang biasa digunakan dalam kek ini ialah kismis hitam, kismis kuning, hirisan ceri merah dan hijau serta hirisan buah kundur.

Kek Kismis Bermalam ini memiliki rasa karamel dan manis. Rasanya pula akan menjadi lebih enak selepas beberapa hari selepas dikukus.

Pembuatan kek ini agak istimewa kerana adunan yang telah siap akan diperam selama satu malam terlebih dahulu. Lebih bagus, anda meletakkan terus adunan tersebut di dalam loyang dan terus kukus apabila sudah siap diperam.

5. Kek Pilih Kasih

Kek Pilih Kasih juga merupakan kek yang wajib ada jika anda menyambut perayaan di Sarawak. Kek ini mempunyai rasa kacang kerana ia mengandungi biji bijan.

Kenali 5 Kek Lama Sarawak Yang Digemari Ramai Hingga Ke Hari Ini
Kenali 5 Kek Lama Sarawak Yang Digemari Ramai Hingga Ke Hari Ini

Seperti juga Kek Kismis Bermalam, rasa kek ini semakin lama akan menjadi semakin sedap.

Uniknya, salah satu bahan yang digunakan untuk membuat kek ini ialah tepung roti Marie. Bagi mendapatkan tepung ini, anda boleh menghancurkan roti Marie dan mengisar sehingga sehingga halus.

Asal usul nama Kek Pilih Kasih ini tidak begitu jelas. Tapi itu tidak penting, yang penting rasanya sedap dan enak!

Semua kek lama guna kaedah kukus

Kesemua kek lama ini dikukus sehingga 4 atau 8 jam bergantung kepada jenis kek. Ada yang mengatakan bahawa semakin lama ia dikukus dan disimpan, semakin enak juga kek tersebut. Maka, tidak hairanlah jika harganya juga sedikit mahal daripada Kek Lapis Sarawak yang biasa.

Apa-apa pun, pembuatan kek lama seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang bagi mengekalkan tradisi dan keaslian kek warisan Sarawak yang enak.

Baca juga artikel berkaitan :

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close