fbpx
More

    Gaji Minimum RM1100 Berkuatkuasa Hari Ini Di Sarawak

    Gaji Minimum RM1100 Berkuatkuasa Hari Ini Di Sarawak

    Gaji Minimum RM1100 Berkuatkuasa Hari Ini Di Sarawak, menurut Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan Awang Omar.

    Menurutnya, perintah baharu itu menetapkan sebanyak RM1,100 sebulan bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan dan RM5.29 sejam bagi pekerja yang dibayar gaji mengikut jam.

    “Majikan yang tidak membayar gaji pokok seperti yang dinyatakan dalam Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 kepada pekerjanya merupakan satu kesalahan.

    “Apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JTK Sarawak di sini, hari ini.

    Selain itu kata Awang Raduan, mahkamah boleh memerintahkan supaya majikan itu membayar perbezaan antara kadar gaji minimum dengan gaji pokok yang dibayar oleh majikan kepada pekerja.

    Katanya bayaran lain yang terakru daripada pengiraan gaji berdasarkan kadar gaji minimum.

    Jelasnya gaji minimum yang dimaksudkan dalam Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 adalah gaji pokok yang dibayar oleh majikan kepada pekerja.

    “Ia tanpa memasukkan bayaran-bayaran lain secara tunai yang dibayar oleh majikan kepada pekerja bagi kerja-kerja dilakukan dibawah kontrak perkhidmatan,” tegasnya.

    Bagaimanapun beliau memberitahu bahawa perintah gaji minimum itu tidak terpakai bagi perkhidmatan domestik sebagaimana ditakrifkan dibawah Seksyen 2 Ordinan Buruh Sarawak (Sarawak Bab 76).

    Perkhidmatan domestik bermaksud seseorang yang diambil bekerja berhubung dengan kerja sesuatu tempat tinggal persendirian dan tidak berhubung dengan mana-mana tred, perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan dalam tempat tinggal itu.

    Tambah Awang Raduan perintah gaji minimum itu terpakai bagi pekerja asing yang memiliki Lesen Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin yang dikeluarkan JTK Sarawak.

    “Setakat September 2018, lebih 139,000 orang pekerja asing yang memiliki lesen berkenaan bekerja diseluruh Sarawak,” katanya.

    Sumber : Jessica Jawing, Utusan Borneo Online

    Artikel Berkaitan