Beliau telah ride ke 17 buah negara sehingga kini.
Demi Kesedaran Disleksia, Lelaki Asal Kuching Ini Nekad Ride Keliling Dunia. Sanggup kah anda ride mengelilingi dunia untuk memberi kesedaran tentang disleksia tanpa menghiraukan risiko yang bakal anda hadapi? Buat lelaki ini, ia bukanlah satu alasan.
Pernah menghidap masalah disleksia sewaktu kecil, seorang lelaki yang berasal dari Kuching, Sarawak ini nekad untuk menunggang motorsikal mengelilingi dunia bagi memberi kesedaran tentang masalah disleksia.
Mulakan misi Ride For Dyslexia sejak Januari 2019
Lelaki yang bernama Dick Yong ini telah memulakan misi Ride For Dyslexia pada Januari 2019 di Kuching kemudian ke Kuala Lumpur. Dari Malaysia, beliau menunggang motorsikal ke negara-negara sektor 1 seperti Thailand, Kemboja, Laos, Myanmar, sektor 2 (India, Nepal, Pakistan, China, Iran), dan sektor 3 (Syria, Bahrain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Jordan dan Lubnan). Sehingga kini, beliau telah melengkapkan 3 daripada 10 sektor perjalanan beliau mengelilingi dunia.

Jelasnya, kempen kesedaran disleksia tersebut telah membawa beliau untuk berkongsi pengetahuan tentang masalah disleksia di sekolah-sekolah terpencil di negara-negara terbabit. Bukan itu sahaja, beliau juga dapat mengalami sendiri cara hidup masyarakat di kawasan yang telah beliau lawati. Bahkan, perspektif nya tentang sesuatu perkara juga telah berubah.

Itulah yang dikatakan jauh perjalanan, luas pemandangan.
Hampir masuk ke perkampungan pengganas semasa ride ke Pakistan
Sudah tentu pengembaraan yang panjang ini mempunyai cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui. Bagi Dick Yong, pengalaman paling mendebarkan adalah apabila beliau hampir memasuki kawasan perkampungan pengganas semasa berada di Pakistan. Malah, beliau pernah disangka sebagai wartawan Amerika Syarikat gara-gara mengibarkan bendera Malaysia pada motorsikalnya.
Bukan itu sahaja, beliau juga pernah mengalami altitude sickness (AMS) akibat kekurangan oksigen ketika berada di tempat berketinggian tinggi. Kejadian tersebut berlaku ketika beliau berada di Ladakh, India.

Sumber : IG @@ridefordyslexia
Lebih ramai guru dan ibu bapa di negara membangun mengetahui tentang masalah disleksia
Usaha keras beliau menjelajah ke seluruh dunia demi kesedaran disleksia membuahkan hasil apabila para guru di negara yang telah dikunjungi memberi respon positif. Malah, mereka mengakui baru menyedari terdapat masalah pembelajaran sedemikian rupa. Bahkan, ada yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kaedah pengajaran disleksia di Malaysia agar dapat diaplikasikan di negara mereka.
Walau pun pengembaraannya terpaksa terhenti di Lubnan akibat pandemik, namun beliau berazam akan meneruskan ride tersebut sehingga ke London, benua Afrika, benua Amerika, New Zealand, Australia kemudian ke destinasi terakhir di Indonesia iaitu di Kalimantan sebelum kembali semula ke Kuching, Sarawak.
Ikuti pengalaman ride beliau di saluran Youtube, RIDEFORDYSLEXIA X serta Instagram, @ridefordyslexia
Disleksia, masalah pembelajaran khusus yang boleh ditangani
Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia MyHealth, disleksia merupakan masalah pembelajaran khusus yang berlaku kepada kanak-kanak. Mereka yang menghidap disleksia ini kebiasaannya lambat untuk bertutur, sukar membaca, menulis, mengeja atau mengira, sering membaca atau menulis secara terbalik serta kurang daya koordinasi.
Kanak-kanak yang menghidap disleksia ini selalu dikaitkan dengan stigma masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang malas dan tidak pandai.

Namun, tahukah anda bahawa golongan ini sebenarnya memerlukan kaedah pembelajaran khas agar mereka dapat mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak normal? Golongan ini sama seperti kanak-kanak biasa namun cara mereka berfikir sedikit ‘luar daripada kotak’. Jadi, mereka perlu membiasakan diri dengan kaedah yang sesuai dengan cara mereka berfikir. Ramai individu pintar di dunia yang menghidapi masalah ini. Salah seorang daripadanya ialah ahli sains terkenal dunia, Albert Einstein.
Kempen kesedaran ini juga bertujuan untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO), Dyslexia Association of Sarawak untuk menyebarkan informasi berkaitan disleksia sekaligus mengumpul dana untuk pembinaan sekolah disleksia baharu di Desa Wira, Kuching.
Untuk pengetahuan anda, pembinaan sekolah baharu ini bakal memberi kemudahan kepada kanak-kanak disleksia untuk belajar selama 3 bulan. Bukan itu sahaja, sekolah baharu ini juga akan membuka sebuah asrama sebagai tempat tinggal kanak-kanak disleksia dari kawasan pedalaman dan luar bandar sepanjang tempoh tersebut.
Bagi anda yang ingin menderma untuk pembinaan sekolah baharu tersebut, anda boleh menderma ke Dyslexia Association of Sarawak di aplikasi Sarawak Pay atau online transfer ke akaun organisasi seperti berikut ;
Bank: RHB Bank Berhad
Nama akaun : Dyslexia Association of Sarawak
Nombor akaun : 2-61048-9000-1600
Facebook : Dyslexia Association of Sarawak
