fbpx
Our Local Story

Agi Idup Agi Ngelaban Rentap Tetap Pahlawan Iban Yang Terunggul

Rentap adalah antara pejuang yang terawal yang telah menentang pemerintahan Brooke yang telah menjajah dan memerintah negeri Sarawak pada tahun 1841 sehingga kematiannya pada 1868.

Agi Idup Agi Ngelaban Rentap Tetap Pahlawan Iban Yang Terunggul. Agi Idup Agi Ngelaban, yang bermaksud Selagi Hidup Selagi Melawan adalah kata-kata pejuangan Rentap. Masihkah anda ingat lagi tentang pahlawan-pahlawan negeri Sarawak yang telah berkorban nyawa demi mempertahankan hak mereka daripada penjajah? Jasa pahlawan unggul Libau Anak Ningkan yang juga dikenali sebagai Rentap ini sepatutnya dijadikan teladan untuk kita kerana sifatnya yang gagah sanggup berjuang menentang penjajah British yang telah mengeksploitasikan hak rakyat di negeri Sarawak pada masa itu. Rentap juga diberikan gelaran lain seperti ‘Raja Darat’ kerana beliau memimpin orang Iban di sungai Skrang dan sungai Saribas.

Agi Idup Agi Ngelaban Rentap Tetap Pahlawan Iban Yang Terunggul
Agi Idup Agi Ngelaban Rentap Tetap Pahlawan Iban Yang Terunggul

Rentap adalah antara pejuang yang terawal yang menentang Brooke

Rentap adalah antara pejuang yang terawal yang telah menentang pemerintahan Brooke. James brooke telah menjajah dan memerintah negeri Sarawak pada tahun 1841 sehingga kematiannya pada 1868. Menurut buku yang bertajuk “The History of Iban Settlements” tulisan daripada Pah Foh Chang pada tahun 2006 yang berlandaskan cerita sebenar daripada generasi keenam Rentap Libau iaitu Subang Anak Dunggau, menceritakan bahawa Rentap membenci dan berasa tidak puas hati dengan Brooke setelah mengetahui rancangannya yang telah mengenakan cukai-cukai yang tinggi ke atas penduduk tempatan dan merampas tanah orang Iban di Skrang dan Saribas.

Tindakan Brooke itu telah memembuatkan Rentap marah dan berasa tindakan tersebut sememangnya tidak wajar. Pada 19 Ogos 1944, Rentap akhirnya telah merancang untuk menyerang James Brooke di kubu Britishnya di Sungai Krang. Rentap kemudiannya telah berjaya dan mendapat kemenangan pertamanya menentang British.

Setelah wujudnya penentangan yang diketuai oleh Rentap ini, Brooke telah melabelkan mereka sebagai lanun dan bukan itu sahaja, semua orang yang berani menentang Brooke ketika itu telah dilabelkan lanun. Brooke yang tidak boleh menerima kekalahannya di tangan Rentap pula telah merancang strategi lain untuk menentang Rentap. Pada 24hb Julai 1849, Brooke bersama armada tentera lautnya yang lebih besar telah merancang untuk menyerang hendap Rentap dan orang-orangnya.

Gambar sebagai hiasan
Gambar sebagai hiasan

Pertempuran terbesar Negeri Sarawak

Namun pada 31 Julai 1849, pertempuran terbesar yang pernah tercatat di dalam kalender negeri Sarawak yang dikenali sebagai Perang Beting Marao telah pun tercetus. Hampir 500 pengikut Rentap telah terkorban di dalam pertempuran tersebut dan Brooke pula telah membakar 20 buah rumah panjang di kampung Rentap. Tetapi Rentap telah berjaya menyelamatkan nyawa kesemua pemimpin di bawahnya. Mereka telah berjaya melarikan diri dan bersedia untuk mengatur rancangan yang lebih baik lagi untuk memerangi Brooke pada masa hadapan.

Setelah Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Sadok dan membina kubu di sana, Brooke pula telah menghantar orangnya Arthur Crookshank untuk membina Fort James di Lingga yang merupakan persimpangan sungai Skrang dan Batang Lupar. Hal ini amatlah menyusahkan rakyat yang berada di kawasan berhampiran kerana Brooke hanya membina kubu tersebut untuk menyekat bantuan untuk Rentap daripada sekutunya Linggir.

Oleh demikian, kebencian Rentap kepada Brooke telah bertambah dan beliau telah mengambil keputusan untuk menyerang dan mengalahkan Brooke pada tahun 1852 di Lingga.Selepas menyerang Lingga, Rentap dan pengikutnya telah mendiamkan diri sementara untuk mengatur lagi strategi peperangan yang lebih sempurna. Pada masa ini jugalah Brooke telah menghantar perutusan kepada Rentap untuk Brooke dan Rentap duduk semeja berbincang untuk satu perundingan secara damai.Tetapi malangnya, Rentap tidak pernah mengaggungkan ketuanan Brooke di Sarawak Kingdom dan beliau menolak dengan sekeras-kerasnya.

Rentap pula meneruskan perjuangannya pada tahun 1853, Rentap dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap Nanga Skrang. Rentap berjaya menenggelamkan sebuah kapal perang milik Brooke. Selesai membuat serangan hendap itu, Rentap dan pengikutnya berundur kembali ke Bukit Sadok.

Sekumpulan askar juga telah dihantar ke kampung Rentap bagi menyekat mana-mana bantuan kepada Rentap ke merata tempat dan mereka yang disyaki membantu Rentap pula akan ditahan. Brooke pula menghantar 7000 tentera pada Ogos 1845 selama dua hari untuk menyerang kubu Rentap di Sungai Lang, Skrang dengan menggunakan senjata api dan Rentap dan orang-orangnya pula telah membalas serangan tersebut dengan menggunakan meriam.

Rentap telah menguatkan kedudukannya di puncak Gunung Sadok dengan membina kubu yang kuat dan curam menjadikan kubu itu hampir mustahil untuk dihampiri musuh. Kedudukan Rentap yang kuat menyebabkan Brooke telah melancarkan ekspedisi bagi memusnahkan kekuasaannya.

Gambar sebagai hiasan
Gambar sebagai hiasan

3 ekspedisi penting di dalam perperangan dengan Rentap

Rajah Brooke telah menghantar 3 ekspedisi penting di dalam perang dengan Rentap iaitu pada 7 Jun 1857, Ekspedisi Sadok Pertama dilancarkan Rajah Brooke bertujuan memusnahkan semua kawasan pertanian sekitar Bukit Sadok untuk memutuskan bekalan makanan pengikut Rentap. Pasukan Brooke berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Sadok yang sama tinggi dengan kubu Rentap di puncak Bukit Sadok untuk melihat dan melancarkan serangan ke kedudukan musuh.

Dengan kekuatan 4,000 askar, Brooke masih tidak dapat menawan kubu Rentap kerana dibina menggunakan kayu belian keras yang tidak dapat ditembusi peluru dan angkatan Rentap juga mempunyai senapang, meriam dan pistol kuno yang dirampas ketika menyerang Allan Lee, di Lintang Batang pada 1853 itu turut digunakan. Pasukan Brooke ditimpa hujan lebat selama lapan hari di puncak Gunung Sadok dan akhirnya memutuskan untuk mengundur diri dalam ekspedisi yang gagal sepenuhnya.

Ekspedisi Kedua pula bermula pada Ogos 1858. Ekspedisi kedua dilancarkan adalah untuk menghapuskan kuasa Rentap dengan membawa senjata Six-Pounder gun yang mampu menembak lima puluh peluru ke kubu Rentap. Ekspedisi kali ini turut gagal kerana senjata itu tidak mampu menembusi dinding kubu Rentap yang kukuh dan Brooke terpaksa segera berundur selepas dibalas dengan serangan bertubi-tubi menggunakan sumpit beracun, lontaran batu dan tembakan senjata api.

Pada September 1861, Brooke melancarkan Ekspedisi Ketiga Sadok yang lebih besar dengan menggunakan tenaga buruh untuk membuat jalan di hutan, sepasukan askar Negro yang terlatih dalam pertempuran jarak dekat serta senjata penembak roket, Six-Pounder Gun dan meriam yang digelar “Bujang Sadok”. Selepas sampai di puncak Gunung Sadok, keesokan paginya, serangan dilancarkan ke kubu Rentap dan berlaku perbalasan serangan menggunakan meriam antara Bujang Sadok dengan Bujang Timpang Berang yang dimiliki Rentap.

Malangnya, salah seorang pengendali meriam Rentap terkena tembakan dari Bujang Sadok dan darahnya membasahkan serbuk letupan menyebabkan Bujang Timpang Berang tidak berfungsi dan kelebihan Bujang Sadok digunakan untuk memusnahkan dinding keras kubu Rentap.

Selepas melancarkan serangan bertali arus pada ekspedisi terakhir Brooke berjaya menawan dan membakar kunu Rentap pada 28 Oktober 1861, Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Lanjak, Skrang sehingga Entabai, Kanowit dan Julau. Rentap yang enggan menyerah kalah, meninggal dunia akibat sakit tua di Bukit Sibau, sekitar 1870.

Keberanian Rentap dalam menjuang dan mempertahankan hak orang Iban daripada penjajahan British harus kita sama-sama contohi walaupun tiada lagi peperangan yang berlaku. Sewajarnya kita sebagai rakyat Malaysia pada masa ini haruslah berganding bahu bersama-sama mempertahankan negara kita dan sentiasa mengamal kan sifat kasih saying tidak mengira apapun bangsa sesama kita.

Artikel Berkaitan

Back to top button