fbpx
Our Local Story

5 Etnik Yang Telah Dan Hampir Pupus Di Sarawak

Pernahkah anda mendengar tentang etnik yang rare ini?

5 Etnik Yang Telah Dan Hampir Pupus Di Sarawak. Sarawak mempunyai lebih daripada 30 buah etnik yang pelbagai. Namun, tahukah anda sebenarnya Sarawak pernah mempunyai 60 suku etnik pada zaman dahulu?

Namun, kebanyakan daripada suku etnik ini telah pupus atau hampir pupus di Sarawak. Dalam artikel kali ini, kami kongsikan kepada anda 5 etnik yang telah atau hampir pupus di Sarawak.

1. Etnik Tabun

Tabun merupakan sub-etnik kepada etnik Kelabit iaitu salah sebuah kaum yang dikategorikan di bawah kumpulan Orang Ulu di Sarawak. Populasi etnik Tabun kebanyakannya didapati di bahagian Limbang iaitu di Kuala Mendalam.

Etnik ini pada asalnya merupakan sekelompok masyarakat Kelabit yang berhijrah dari Bario. Kelompok Kelabit ini berhijrah ke Pa’Adang, Long Semadoh dan Sungai Limbang. Namun, ada di antara kelompok ini yang tidak berpuas hati dengan keadaan tanah di Long Semadoh kemudian meneroka petempatan baru yang lebih dalam.

Akhirnya, mereka menetap di Pa’Tabun serta Kuala Mendalam di Limbang dan menggelarkan diri mereka Tabun sempena nama petempatan baru yang mula-mula mereka temui.

5 Etnik Yang Telah Dan Hampir Pupus Di Sarawak
Kumpulan Orang Ulu yang terdiri daripada etnik Kelabit, Kenyah, Lun Bawang dan banyak lagi.

Menurut sejarah, pada zaman dahulu, kebanyakan etnik Tabun ini telah berkahwin campur dengan masyarakat Iban. Disebabkan mereka memilih untuk tinggal di Limbang yang kebanyakannya telah dikuasai terlebih dahulu oleh masyarakat Iban, mereka terpaksa berasimilasi untuk mengekalkan keharmonian bersama. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan dari menjadi mangsa perang kayau atau perang perluasan kuasa.

Namun, masyarakat Tabun masih mengekalkan tradisi nenek moyang mereka semasa menjalani upacara berkaitan perkahwinan, kematian dan sebagainya.

Populasi etnik Tabun kini diancam kepupusan kerana tidak ramai di antara mereka yang menguasai bahasa Tabun. Ada pun, kebanyakan daripada mereka lebih menguasai Bahasa Iban kerana tinggal di rumah panjang masyarakat Iban.

2. Etnik Pegu

Jika anda berasal dari Samarahan, besar kemungkinan anda mempunyai susur galur keturunan etnik Pegu. Kaum Pegu dipercayai mendiami kawasan Sungai Sadong Atas, kaki Gunung Bukar, dan Sungai Samarahan Atas dan mengamalkan amalan animisme atau beragama Hindu sebagai pegangan hidup.

Etnik Pegu ini berhijrah secara besar-besaran ke sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Sri Muntungs di Samarahan akibat suatu peristiwa yang tidak dinyatakan. Namun, sebahagian daripada mereka pula berhijarah lebih jauh ke Santubong dalam misi mencari tanah pamah yang baru sekaligus menghindarkan diri daripada persengketaan.

Disebabkan penghijrahan mereka ke Santubong, mereka dikatakan kaum yang terawal menduduki Santubong. Malah, lebih awal sebelum kerajaan Pasir Kuning.

Gambar suatu ketika dahulu kawasan Sadong Jaya yang terletak di Sungai Batang Sadong.

Menurut tinjauan Charles Grant ke Samarahan sekitar kurun ke-19 yang dicatatkan dalam “The Natives of Sarawak and British North Borneo“, kaum Pegu ini ternyata mempunyai kaitan sebagai nenek moyang masyarakat Melayu Sarawak yang tinggal di Samarahan. Identiti Pegu mereka hilang setelah memeluk agama Islam secara beramai-ramai pada suatu ketika dahulu.

3. Etnik Dalek

Etnik Dalek ini telah diancam kepupusan sejak dari zaman pemerintahan Brooke lagi. Kini, kebanyakan mereka bukanlah etnik Dalek yang asli tetapi sebaliknya telah mempunyai campuran etnik Bakong dan Miriek. Mereka dikenali sebagai masyarakat Badami yang mendiami kawasan sekitar Sibuti dan Bekenu. Bahkan, bahasa Dalek juga dipercayai telah pupus sepenuhnya.

Asal usul etnik Dalek ini dipercayai berasal dari satu kumpulan masyarakat etnik Kenyah di Dataran Tinggi Usun Apau. Perpecahan akibat peperangan sesama sendiri di Usun Apau telah memaksa sebahagian daripada mereka berpindah ke seluruh pelusuk Kepulauan Borneo. Penghijrahan ini telah mewujudkan sub-etnik seperti etnik Berawan.

Walau bagaimanapun, peperangan sesama etnik sentiasa berterusan sehingga akhirnya mewujudkan beberapa lagi sub-etnik iaitu Dalek, Narom, Lelak dan banyak lagi. Disebabkan itu, etnik Dalek dipercayai mempunyai banyak persamaan dengan etnik asalnya iaitu Berawan.

5 Etnik Yang Telah Dan Hampir Pupus Di Sarawak
Air terjun Julau, air terjun tertinggi di Sarawak yang terletak di Usun Apau.

Etnik Dalek pada zaman dahulu mempunyai kepercayaan pagan dan tinggal di rumah panjang Kenyah. Mereka juga mengamalkan perang perluasan kuasa iaitu Perang Kayau.

Kini, etnik Dalek telah ramai yang memeluk agama Islam dan melangsungkan perkahwinan campur di antara etnik Bakong dan Miriek yang terlebih dahulu memeluk Islam. Mereka terus berasimilasi menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu Sarawak pada hari ini.

4. Etnik Seru

Etnik Seru pula merupakan salah sebuah etnik bukan Melayu yang terawal memeluk Islam di Sarawak. Mereka mendiami kawasan Saribas dan sering menjadi mangsa kegiatan ngayau atau pemenggalan kepala oleh masyarakat Iban.

Nama Seru telah diberi oleh pegawai kerajaan ketika zaman pemerintahan Brooke. Mereka juga dipercayai berasal dari Kapuas, Kalimantan dan mendakwa mempunyai pertalian hubungan dengan suku kaum Melanau Rajang.

5 Etnik Yang Telah Dan Hampir Pupus Di Sarawak
Pakaian tradisi masyarakat Melanau.
Sumber : Sarawak Tourism Board

Menurut pensyarah sains sosial, Dr. Jeniri Amir, kedatangan kaum Melayu telah memberikan perlindungan kepada kaum ini daripada serangan ngayau. Disebabkan itu, kebanyakan wanita Seru telah mengahwini lelaki Melayu. Lantas, keseluruhan etnik tersebut memeluk Islam dan mengamalkan cara hidup masyarakat Melayu.

Seiring itu, jati diri mereka hilang dan kemudiannya pupus seawal abad ke-19.

5. Etnik Kiput/Lakiput

Etnik Kiput atau Lakiput tergolong dalam kumpulan Orang Ulu. Ia juga dikenali sebagai Lepo Pu’un yang bermaksud suku awal atau bangsa awal dalam bahasa Melayu.

Sehingga ke hari ini, data populasi daripada sumber pada tahun 2000 menyatakan bahawa etnik Kiput ini hanya berjumlah sekitar 2,000 orang dan kebanyakannya tinggal di sekitar pesisir Sungai Baram, Kuala Tutoh dan Lubok Nibong, Miri. Bahasa Kiput juga dikatakan hampir sama dengan bahasa Jati Miriek seperti etnik Kedayan, Narum dan Bakong dari segi kosa kata dan pertuturan.

5 Etnik Yang Telah Dan Hampir Pupus Di Sarawak
4 Etnik Yang Telah Dan Hampir Pupus Di Sarawak

Menurut sejarah lisan daripada generasi tua etnik Kiput ini juga, masyarakat ini berasal daripada bahagian tengah Kepulauan Borneo. Mereka juga merupakan orang yang terawal berhijrah dan membina penempatan di pesisir Sungai Baram.

Bahkan, etnik Kiput ini dikatakan mempunyai perkaitan rapat dengan Kesultanan Brunei suatu ketika dahulu. Sebab itulah kebanyakan masyarakat Brunei yang tinggal di kawasan Belait dan Kiudang mempunyai persamaan sosio budaya dengan etnik ini.

Sebelum kedatangan pengaruh Kristian dan Islam ke Kepulauan Borneo, masyarakat Kiput ini mengamalkan amalan animisme. Namun, sekitar tahun 1920 an, kebanyakan mereka menganut agama Kristian dan juga Islam. Bagi masyarakat Kiput yang menganut agama Kristian, mereka masih tinggal di rumah panjang manakala bagi mereka yang beragama Islam, kebanyakan mereka menetap di kawasan perkampungan Melayu tradisional seperti di Kampung Benawa, Baram.

Etnik Kiput ini diancam kepupusan kerana mereka kehilangan jumlah populasi yang besar dari tahun ke tahun atas faktor perpindahan golongan muda ke kawasan bandar untuk meneruskan kehidupan sekaligus menjadi penetap di luar kawasan Sarawak dan Malaysia amnya. Selain itu, komuniti ini juga memerlukan sokongan yang berterusan bagi mengekalkan keunikan tradisinya sebagai lambang identiti kaum Kiput.

Salah faham masyarakat dan perpindahan ke kawasan moden punca kepupusan etnik di Sarawak

Kebanyakan faktor kepupusan etnik di Sarawak adalah disebabkan kesalah fahaman masyarakat zaman dahulu yang menganggap pertukaran agama sebagai pertukaran etnik dan budayanya sekali. Sebagai contoh, jika seseorang memeluk agama Islam, maka beliau turut dianggap sebagai ‘masuk Melayu’ kerana agama Islam sinonim dengan masyarakat Melayu. Tetapi, hakikatnya etnik dan bangsa asal seseorang tidak dapat diubah.

Selain itu, amalan budaya yang tidak dipelihara dan diamalkan setelah perkahwinan campur serta perpindahan ke kawasan yang lebih moden juga menjadi salah satu faktor kepupusan etnik di Sarawak.

Baca juga artikel ini :

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close