Our Local Story

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak

Bujang Senang bukanlah satu nama yang asing lagi di Sarawak. Terdapat pelbagai versi lagenda bujang senang yang diceritakan kepada umum. Dalam artikel kali ini, kami sertakan 3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang di Sarawak.

Kisah Pertama

* Seperti yang diceritakan kepada wartawan NST dan BH, James Ritchie dan Normah Mullie. Dan statistik serta rekod daripada Pejabat Daerah Sri Aman, Sarawak. Juga sedikit sebanyak dikaut sendiri oleh Rizal Iskandar semasa menetap di Sri Aman sekitar 2003-2006 *

 

Lungu ialah seorang pahlawan Iban yang terkenal di sekitar Sungai Skrang, Sarawak. Kehebatan beliau sewaktu ekspedisi mengayau (potong kepala) musuhnya digeruni dan bukan sedikit yang terkorban ditangannya. Kehebatan beliau bukan sekadar di Sungai Skrang tetapi juga sampai ke Batang Lupar (batang=sungai besar dalam bahasa Iban) di Bahagian Sri Aman hari ini.

Musuh-musuh beliau percaya Lungu punya ilmu kebal yang tidak lut parang, lalu menculik isterinya agar rahsia kekebalan Lungu dapat diketahui. Dilema antara kebanggaan suku dan kasih sayang, Lungu datang ke Batang Lupar dengan harapan membebaskan isterinya dan membunuh penculiknya. Namun, isteri Lungu ditombak mati sebaik dibebaskan, manakala Lungu bertarung bermati-matian dengan musuhnya sehinggalah ke tepi sungai Batang Lupar. Musuhnya telah mengetahui kelemahan Lungu iaitu kekebalannya musnah tatkala beliau berada di perairan sungai itu. Lungu ditombak, dipanah dan disula terbalik oleh musuhnya di sungai itu. Mayatnya dan isterinya dibiarkan sehingga tenggelam dek air pasang.

Mujur para dewata yang memberi kesaktian pada Lungu sekali lagi menumpahkan magis ke atas mayatnya dan isterinya, lalu setibanya air pasang Lungu dan isterinya bertukar menjadi buaya besar yang memiliki belang putih dibelakangnya untuk menghantui keturunan pembunuhnya di sekitar Batang Lupar. Maka lahirlah Bujang Senang, seperti yang diketahui. Nama Bujang Senang sendiri dinamakan bersempena Sungai Senang, salah satu cawangan Batang Lupar dimana buaya itu sering kali dijumpai.

Terus ke masa depan, tahun 1982…

Bangan anak Pali telah dilantik sebagai penghulu Rumah Pali oleh pihak residen Sri Aman. Dua hari sebelum majlis pelantikan rasmi di rumah panjang mereka, beliau dan abangnya, Kebir, berhasrat untuk mencari rezeki di sekitar Batang Lupar. Menyusuri sungai ke arah hilir, mereka masuk ke kawasan Sungai Sungga, salah sebuah cabang Batang Lupar yang besar itu dan mula mencari udang. Dengan menggunakan sadak (sejenis bekas diperbuat daripada rotan), mereka menyusuri sungai yang berparas pinggang dan mencedok udang.

Hari sudah meninggi, sudahpun tengah hari. Seekor burung embuas (burung raja udang (kingfisher), dalam bahasa Iban) tiba-tiba melintas. Kebir berasa tidak sedap hati, kerana lintasan embuas bermakna sesuatu yang buruk bakal berlaku. Kebir memanggil adiknya naik ke tebing, tetapi Penghulu Bangan tetap berkeras meneruskan pencarian udang.

Penghulu Bangan mula berpaling ke arah abangnya dan meredah air separas pinggangnya apabila beliau terpijak sesuatu di dasar sungai yang keruh itu.

“Nama utai tok, baka batang… (apakah benda ini, macam batang rupanya)”

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak

Kebir baru saja mahu membalas kata-kata adiknya apabila satu deburan kuat berdentum. Penghulu Bangan hilang dari pandangan. Beberapa saat kemudian, seekor buaya besar gigantic timbul dengan mayat Penghulu Bangan di rahangnya. Kebir terus terjun dan memeluk ekor besar buaya itu demi menyelamatkan adiknya, tetapi tidak berjaya. Kebir menyedari bahawa buaya itu berbelang putih dibelakang, terus pulang ke rumah panjang dengan perkhabaran buruk.

Operasi mencari berterusan selama 5 hari dengan pihak polis serta Perhilitan turut serta. Suasana sedih menyelubungi rumah panjang itu apabila mayat Penghulu Bangan dibawa pulang hanya bahagian atas sahaja. Tiada tanda-tanda buaya itu serta sisa-sisa mayat ditemui.

Itulah kebangkitan Bujang Senang dan mula diketahui umum. Berikutan itu, polis Sarawak melancarkan ‘Operasi Buaya Ganas’ di semua sungai-sungai besar yang berpotensi tinggi, seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas.

Batang Lupar, 1984.

Badong anak Apong, dari Rumah Nyawin tidak jauh dari Sungai Stirau, Batang Lupar sedang sibuk mencedok udang apabila seekor buaya besar membaham beliau dan diperhatikan beberapa penduduk kampung. Buaya itu dilihat melambung-lambung mayat Badong sebelum menghilangkan diri di dalam sungai. Saksi berkata lebar ekor buaya itu sebesar tong dram dan ada garis putih dibelakang. Usaha diteruskan dan mayat mangsa dijumpai 2 hari kemudian tidak jauh dari tempat kejadian. Operasi memburu dijalankan lagi tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat.

Batang Lupar, 1987.

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak

Seekor burung embuas melintas tatkala Berain anak Tungging sedang mencedok tanah liat di dasar sungai untuk menutup lubang-lubang di perahunya. Setelah siap, Berain mahu pulang ke tebing apabila seekor buaya besar menariknya ke dalam sungai dan kejadian ini disaksikan sendiri anak saudaranya. Dengan maklumat yang sama seperti sebelumnya, seluruh penduduk sekitar Batang Lupar ketakutan dengan nama Bujang Senang.

Tuai rumah (ketua rumah panjang) Rumah Tuah, Tuah anak Tunchun percaya buaya ini sememangnya Bujang Senang dan buaya yang sama membunuh adik beliau, Inchi anak Tunchun pada 1962. Beliau yakin bahawa sumpahan itu memang benar dan buaya itu ialah suatu entiti yang berhantu. Kata beliau, semua mangsa terlibat seperti adiknya, Penghulu Bangan, Badong dan Berain mempunyai pertalian langsung dan ini tidak dipertikaikan.

Menjelang 1989, banyak laporan di akhbar-akhbar tempatan memaparkan kisah kemunculan kerap buaya-buaya besar di sekitar Batang Samarahan dan Batang Sadong, seolah-olah menggambarkan sesuatu bakal berlaku. Terdapat pelbagai cerita, seperti kononnya Bujang Senang telah berada di sungai-sungai tersebut untuk melunaskan dendamnya bersama buaya-buaya lain. Benar atau tidak, wallahu’alam.

Sungai Pelaban, cabang kecil Batang Lupar, 1992.

Seperti kebiasaan, keluarga Bayang akan mudik ke hulu ke arah sawah padi mereka tidak jauh di Sungai Pelaban. Air ketika itu hendak pasang, dan Dayang membantu ibunya melintasi sungai separas pinggang ke seberang, sebelum dia naik ke tebing. Abang beliau Enie Bayang sudah mula bekerja di kebun sambil ayah mereka hendak ke rumah panjang mengambil kelengkapan.

Awan kelihatan berbalam-balam. Dayang baru saja hendak naik apabila satu deburan kuat menariknya ke dalam sungai. Dayang menjerit sekuat hati dan ibunya terkejut besar apabila anak gadisnya sedang diheret seekor buaya besar. Terpekik terlolong memanggil pertolongan, orang-orang yang ada terus menerpa ke arah ibu Dayang. Abangnya bergegas dan bersama-sama rakannya terus menjalankan operasi menjejak buaya itu.

Rumah Bayang bergegar dengan berita itu, lantas turun ke sungai memburu buaya. Dayang sudah hilang dibawa buaya ke dasar sungai. Bersama-sama mereka, Mandau mula membaca mentera. Setelah lebih dua jam, Enie, abang mangsa menjumpai mayat adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai itu.

Buaya itu kembali dan mengganas. Dengan beberapa tembakan, buaya itu tetap melawan. Oleh kerana besarnya saiz buaya itu, pasti sukar ditewaskan. Tetapi Mandau tetap bermentera dan mula membaling tombak ke kepala buaya, tetapi patah. Awan semakin gelap, air mulai surut. Buaya besar itu mula melarikan diri ke arah Batang Lupar, tetapi dihalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut sungai itu. Buaya itu terus diserang, ditembak dan ditombak. Buaya itu mengganas dan meronta-ronta sehingga pergerakannya menjadi sedikit aneh. Buaya itu berpusing dan mengelilingi puing-puing kayu seolah tahu kematiannya, dan tidak lama kemudian, buaya besar itu menemui ajalnya.

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak

Buaya yang besar ini diangkut ke rumah panjang selama 4 jam perjalanan, dan barulah disedari dibelakangnya ada garisan putih. Inilah dia Bujang Senang yang diperkatakan, dan ramai sekali polis, Perhilitan serta wartawan datang membuat liputan. Sayangnya bangkai buaya ini dibuang begitu sahaja ke laut tanpa sebarang usaha membawa balik oleh pihak muzium, cuma kepalanya sahaja telah dibawa pulang oleh Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di Siburan, Sarawak.

Ada yang mempertikaikan kesahihan buaya yang ditangkap, kerana ada yang berpendapat buaya itu bukanlah Bujang Senang, dan pelbagai cerita lagi. Ada sesetengah masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar mempercayai Bujang Senang masih hidup, lebih besar dan sentiasa berada di sungai itu. Wallahu’alam.

Mencari aktiviti untuk dilakukan di Kuching ? Semak artikel kami di sini : Things To Do In Kuching

Kisah Kedua

CERITA mengenai buaya raksasa menghuni sungai-sungai di Sarawak bukanlah kisah dongeng bahkan nama Bujang Senang masih digeruni hingga kini. Kemunculan semula Bujang Senang, buaya jantan yang dipercayai oleh masyarakat tempatan berukuran 20 kaki panjang (enam meter) dan empat kaki (1.2 meter) lebar, bermula pada tahun 1982 apabila reptilia itu membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman, Sarawak.

Pada masa itu, Penghulu Bangan bersama abangnya Kebir sedang asyik menangguk udang di Sungai Sungga, cabang Batang Lupar sebelum dia terpijak sesuatu di dasar sungai.
Sepantas kilat, seekor buaya besar timbul dengan tubuh Penghulu Bangan di rahangnya. Kebir yang dari tadi memerhati dari tebing terus terjun dan memeluk ekor buaya itu demi menyelamatkan adiknya tetapi tidak berjaya.

Ketika itulah Kebir menyedari buaya itu mempunyai belang putih di belakangnya. Warna itu pula kelihatan berkilau-kilauan.Operasi mencari mayat Penghulu Bangan berterusan selama lima hari tetapi cuma bahagian atas mayat lelaki itu ditemui. Berikutan itu, polis Sarawak melancarkan ‘Operasi Buaya Ganas’ di semua sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas.

Operasi itu gagal dan Bujang Senang terus mengganas. Di antara tahun 1982 hingga 1991, sebanyak 13 orang menjadi mangsa kebuasan Bujang Senang.
Pada Mei 1992, Bujang Senang menyambar mangsa ke-14, Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberang Sungai Pelaban, cabang Batang Lupar bersama ibunya.
Air Sungai Pelaban hanya sedalam separas pinggang tetapi sebaik sahaja ibunya naik ke tebing, tiba-tiba satu deburan kuat menyebabkan Dayang hilang daripada pandangan.

Abang Dayang, Enie Bayang dengan bantuan rakan-rakannya segera membantu. Bersama mereka ialah si bomoh Mandau yang tidak henti-henti membaca mantera.Setelah lebih dua jam, Enie menjumpai mayat adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai itu.
Entah kenapa, buaya itu timbul semula di permukaan sungai. Mandau pantas melemparkan lembing ke kepala buaya itu malangnya lembing itu patah.

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak
Beberapa das tembakan yang dilepaskan Enie pula gagal membunuhnya. Buaya itu melarikan diri ke arah Batang Lupar namun terhalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut Sungai Pelaban.
Ketika itulah penduduk dari tiga buah kampung iaitu Pelaban, Suduku dan Lingga mengepungnya.
Sebanyak 40 das tembakan dilepaskan dengan 22 daripadanya tepat di kepala haiwan itu. Semua tembakan itu menggunakan peluru paku sepanjang 10 sentimeter.

Buaya itu menemui ajal dan bangkainya diangkut ke rumah panjang selama empat jam perjalanan.
Selepas itu barulah disedari di belakangnya ada garisan putih. Penduduk percaya itulah Bujang Senang yang diperkatakan orang selama ini. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Lingga, Awang Mahda Pengiran Mat mengesahkan buaya yang dibunuh itu seekor buaya jantan.

Katanya, orang yang membelah perut buaya itu menemui tulang dan rambut yang tidak dapat dipastikan kepunyaan manusia atau binatang, selain timah dan tali nilon.
Buaya itu berukuran 5.46 meter (18.5 kaki) panjang dengan lilitan perut 2.12 meter (6.9 kaki).
Berita kematian Bujang Senang itu mengejutkan rakyat Malaysia selepas ia disiarkan akhbar-akhbar arus perdana. Malangnya bangkai buaya itu dibuang ke sungai begitu sahaja.
SESETENGAH masyarakat di pedalaman Sarawak percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar sekarang.

Hanya beberapa hari kemudian kepalanya dikerat dan dibawa pulang oleh seorang lelaki, Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di Siburan, Sarawak.
Johnson, 65, percaya buaya itu adalah Bujang Senang seperti yang didakwa penduduk.
“Itulah kali pertama saya berjumpa dengan buaya yang mempunyai jalur putih di belakangnya,” imbau Johnson yang membuka Ladang Buaya Jong sejak tahun 1963 lagi.
Katanya kepada Jurnal, selepas kejadian 1992 itu, tiada lagi serangan oleh buaya berjalur putih berlaku di sekitar Batang Lupar.

Sementara itu, Kurator Sejarah Zoologi dan Semula Jadi Muzium Sarawak, Dr. Charles Leh berkata, sungai-sungai di Sarawak sememangnya terdapat banyak sarang buaya.
“Mengikut sejarah, buaya sudah wujud sejak lebih 160 juta tahun lalu. Jadi kewujudan banyak buaya besar di Sarawak adalah perkara biasa.

“Jalur putih di belakang buaya yang didakwa Bujang Senang itu berkemungkinan seekor buaya separa albino,” ujarnya.

Apa pun, ada orang yang mempertikaikan kesahihan Bujang Senang sudah mati.
Malah terdapat masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar.
Oleh kerana itulah jika pukat mereka terjerat anak buaya, mereka akan melepaskannya sambil memohon maaf.
Ini semua bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku pada mereka dan keturunan mereka.

Kisah Ketiga

Jika disebut Buaya Bujang Senang sudah semestinya seseorang itu akan menggambarkan seekor buaya yang bersaiz besar dan juga terkenal dengan serangannya ke atas manusia lebih-lebih lagi di sepanjang Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak.

Namun begitu berapa ramaikah yang mengetahui bahawa ada cerita mitos mengenai apa itu buaya keramat bernama bujang senang mengikut cerita-cerita masyarakat setempat yang mendiami sekitar persisiran Sungai Batang Lupar. Mungkin cerita legenda buaya bujang senang ini adalah cerita sebenar yang kemudian ditokok tambah bagi mengindahkan penceritaan hanya Yang Maha Esa sahaja mengetahui halnya.

Diriwayatkan melalui cerita lisan orang tua-tua di dalam masyarakat Iban yang mendiami kawasan sekitar Sungai Skrang Sarawak, beratus-ratus tahun dahulu ketika adat ngayau atau adat memburu kepala masih lagi diamalkan di dalam masyarakat pribumi telah gah seorang pahlawan Iban yang bernama Lungu. Pahlawan Lungu ini diceritakan sebagai seorang pahlawan yang hebat terutama sekali sewaktu beliau menyertai ekspedisi mengayau kerana menyebut namanya sahaja musuh sudah gerun, Dikatakan bahawa Lungu telah banyak membunuh dan juga memotong kepala musuhnya dan kehebatannya bukan sahaja di kawasan sekitar Sungai Skrang namun sehingga ke Batang Lupar. Diceritakan juga bahawa Lungu ini kebal iaitu tidak lut senjata dan kerana itulah beliau di dalam setiap peperangan dengan mudah membunuh musuhnya dan tiada tercalitpun kesan kecederaan pada dirinya. Perkara akan hal kebalnya pahlawan Lungu ini telah menyebabkan musuh-musuhnya bertekad untuk mencari kelemahannya agar mudah mereka membunuh pahlawan Lungu ini kelak.

3 Kisah Berbeza Lagenda Bujang Senang Sarawak

Pada satu ketika, maka bertekadlah musuh-musuh Lungu untuk menculik isteri kesayangan Lungu dan diharap dengan menculik isterinya maka dapatlah mereka mengetahui kelemahan pahlawan Lungu. Isteri kesayangan Lungu telah diculik dan disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada Sungai Batang Lupar. Apabila mengetahui bahawa isterinya telah diculik maka marahlah Lungu dan beliau dengan seorang diri telah mengejar penculik-penculik isterinya sehingga ke Sungai Batang Lupar. Seketika di dalam penculikan itu, isteri Lungu telah diseksa oleh musuh-musuh Lungu demi mendapatkan rahsia kekebalan Lungu. Dek kerana tidak tertahan kepada keseksaan tersebut, isteri Lungu telah secara tidak sengaja membuka rahsia bagaimana untuk menewaskan Lungu. Setelah mengetahui rahsia kelemahan Lungu, musuh-musuh Lungu dikatakan telah melepaskan isteri Lungu namun apabila isteri Lungu terlerai dari ikatan tali pada tangannya, dimasa beliau berlari maka pihak musuh Lungu telah membaling tombak ke arah badan isteri Lungu maka matilah isterinya yang tidak berdosa itu.

Lungu yang melihat pembunuhan isterinya itu telah naik radang lalu bertarung dengan musuh-musuhnya. Namun sayangnya tanpa Lungu sedari bahawa rahsia kekebalannya telah bocor di tangan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Lungu dengan sengaja mengajak Lungu untuk bertarung dekat dengan air sungai kerana dikatakan kekebalan Lungu tidak menjadi sekiranya dia memijak air sungai ataupun bertarung di dalam sungai. Lungu yang sudah marah dan hanya ingin menuntut bela atas kematian isterinya yang dicintai sudah tidak mengindahkan pantangnya lagi dan terus bertarung. Akhirnya musuh-musuh Lungu berjaya membaling tombak dan kemudiannya Lungu tewas, Tidak cukup dengan kematian Lungu yang luka parah akibat ditombak, jasad Lungu juga disula terbalik dan mayat Lungu dan isterinya dibiarkan di tepi Sungai Batang Lupar agar ianya tenggelam dan dibawa oleh arus sungai yang deras apabila air pasang kelak.

Diriwayatkan bahawa mayat kedua-dua pasangan suami isteri iaitu Lungu dan isterinya setelah air pasang telah bertukar menjadi 2 ekor buaya besar. Salah seekor buaya besar ini mempunyai tanda belang putih dibelakangnya dan inilah yang dikenali sebagai Bujang Senang. Mengikut cerita orangtua, buaya Bujang Senang ini telah bersumpah akan menuntut bela atas kematian mereka dengan akan menjadikan setiap generasi yang berkaitan dengan musuh-musuh yang telah membunuh mereka sebagai korban. Sehingga sekarang masyarakat setempat di sekitar Sungai Batang Lupar masih lagi mempercayai bahawa buaya Bujang Senang itu tidak mati kerana dia adalah buaya keramat penghuni Sungai Batang Lupar

Lebih Cerita Di Sini : Our Local Story In Kuching

Related posts
Our Local Story

Whatsapp, Facebook, Instagram DOWN Disebabkan Masalah Teknikal

Our Local Story

Kecoh!Page FB Sabah Sarawak Merdeka HINA YDP Agong Malaysia

Our Local Story

Grab Food Dijangka Mula Beroperasi Bermula 22 April Di Kuching!

Our Local Story

Pindaan Perlembagaan : Ianya Sepatutnya Negara Sabah Dan Sarawak

Ketahui Segalanya Mengenai Kuching Dengan Melanggan Newsletter Kami