Seorang wanita cedera parah akibat nahas jalan raya yang menglibatkan tiga kenderaan di Stapok, Jalan Batu Kawa.
Kemalangan Tiga Kenderaan Lima Cedera Dan Seorang Parah, Stapok. Lima mangsa yang telah cedera dan seorang wanita parah di dalam nahas jalan raya di hadapan sebuah sekolah, di Stapok, Jalan Batu Kawa telah berlaku pagi tadi.

Kemalangan berlaku jam 6.17 pagi
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi berkata, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Sarawak telah menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 6.17 pagi sebelum mereka mengerahkan pasukan mereka dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi telah melaporkan kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan.
Kemalangan berikut berpunca daripada sebuah kereta yang hilang kawalan dan berpusing sebelum melibatkan dua kenderaan yang lain di laluan berkenaan katanya di dalam keterangan hari ini.

Seorang wanita cedera parah
Jelasnya juga, kemalangan tersebut telah mengakibatkan seorang wanita cedera parah. Pihak bomba bertindak menstabilkan mangsa yang sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum mereka tiba di kawasan kejadian. Wanita tersebut dipercayai dalam keadaan trauma dan parah.
Pasukan khas Jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba seterusnya segera menghantar tiga mangsa dari dua kenderaan terlibat ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan yang lebih lanjut.
Menurut Bomba lagi, kemalangan tersebut telah mengakibatkan kesesakan trafik yang teruk.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini polis belum lagi menerima laporan berbungan dengan nahas jalan raya tersebut.