Lelaki tersebut didapati bersalah di Mahkamah Perusahaan.
Gara-Gara Panggil Pekerja ‘Sayang’, Seorang Lelaki Telah Dibuang Kerja Di Sarawak. Adakah anda layak dibuang kerja hanya kerana memanggil pekerja atau rakan sekerja anda dengan panggilan ‘sayang’?
Ya, anda boleh dibuang kerja kerana tingkah laku anda dikategorikan sebagai gangguan seksual bukan fizikal.
Menurut Akta Kerja 1955, gangguan seksual didefinisikan sebagai apa-apa kelakuan yang tidak diingini yang bersifat seksual, sama ada secara lisan atau sebaliknya, penglihatan, isyarat, tindakan atau fizikal yang telah dilakukan kepada seseorang di mana perbuatan tersebut dianggap sebagai memalukan atau menyakitkan atau mengancam nyawa semasa dalam atau luar waktu pekerjaan.

Gambar hiasan.
Panggilan ‘sayang’ membawa padah
Dalam sebuah kes terbaru yang dilaporkan oleh sebuah firma guaman, Donovan & Ho, seorang lelaki terpaksa menganggur apabila didakwa melakukan gangguan seksual bukan fizikal kepada salah seorang orang bawahan nya.
Kes tersebut berlaku di sebuah syarikat petroleum Amerika Syarikat yang berpangkalan di Bintulu, Sarawak.
Kes tersebut dibawa ke Mahkamah Perusahaan kerana lelaki tersebut didakwa diberhentikan secara tidak adil hanya kerana beliau sering memanggil pekerjanya dengan panggilan ‘sayang’.
Sering diberi barangan berbentuk peribadi, buat perkara di luar tugasan rasmi
Menurut mangsa, lelaki tersebut sering memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’ di khalayak ramai serta menerusi pesanan ringkas elektronik. Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai setiausaha kepada lelaki terbabit, bahunya pernah dipegang oleh lelaki tersebut tanpa kerelaannya serta bersalam dengan sentuhan yang tidak menyenangkan.
Lelaki tersebut juga sering menghadiahkannya dengan barangan yang berbentuk peribadi seperti minyak wangi, krim tangan, casing telefon, bunga serta coklat. Malah, mangsa selalu menerima pesanan mesra dan perhatian yang melebihi pekerja yang lain.
Perbuatan lain yang tidak disenangi oleh mangsa juga adalah apabila mangsa disuruh melakukan tugasan yang tidak berkaitan dengan tugas hakiki seperti mengambil lelaki tersebut di lapangan terbang, menemani lelaki tersebut membeli pakaian untuk makan malam, dan mengiringi lelaki tersebut ke bilik hotel semasa sebuah program.

Lelaki itu hanya anggap hubungan seperti bapa dan anak
Walau bagaimanapun, lelaki tersebut menafikan perbuatannya mempunyai motif seksual tetapi sebaliknya menganggap panggilan tersebut dari sudut hubungan seperti seorang bapa dan anak.
Mahkamah Perusahaan akhirnya memutuskan bahawa lelaki tersebut bersalah atas beberapa sebab. Antaranya ialah faktor panggilan ‘sayang’ yang melambangkan simbol hubungan rapat yang melebihi batas di tempat kerja.
Pemberian barangan peribadi daripada seorang pegawai atasan kepada pekerja bawahan wanita adalah perbuatan yang tidak boleh diterima. Malah, perbuatan menyentuh mangsa menyebabkan mangsa berasa terancam dan tidak dihormati dengan mengambil kira latar belakang agama dan budaya mangsa.
Oleh yang demikian, tingkah laku lelaki tersebut dianggap sebagai sebuah gangguan serta tidak melambangkan sikap seorang pegawai atasan.
Gangguan seksual tidak terhad kepada gangguan fizikal semata-mata
Untuk makluman anda, gangguan seksual tidak terhad kepada gangguan fizikal semata-mata tetapi juga merangkumi perbuatan lisan seperti panggilan atau nama yang terlalu mesra, pemberian barangan berbentuk peribadi atau mana-mana perbuatan yang tidak diingini dan berlaku berulang kali.
Tambah laman guaman itu lagi, walau pun gangguan ini sering berlaku di tempat kerja, ramai yang menganggap bahawa masalah ini tidak seteruk gangguan seksual secara fizikal. Malah, ramai yang tidak mampu mengenal pasti sama ada mereka terkena gangguan seksual bukan fizikal.
Oleh yang demikian, majikan haruslah memastikan agar staf mereka diberi pengetahuan dan latihan secukupnya tentang gangguan seksual agar mereka dapat mengenal pasti tingkah laku yang berlebihan dan tidak sesuai di tempat kerja.